Tumpuan :
Nasional

Penduduk Kampung Bendang Perol paling awal ke PPS, paling lewat pulang ke rumah

Keadaan rumah di Kampung Bendang Perol yang habis tenggelam ketika banjir baru-baru ini. FOTO NSTP / Ihsan Penduduk

RANTAU PANJANG: ‘Tiada apa yang selamat, banjir kali ini menenggelamkan semua tujuh rumah di Kampung Bendang Perol’.

Demikian luahan penduduk kampung, Noriah Setapa, 52, yang kini masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh.

Ibu kepada empat anak itu menyifatkan gelombang banjir kali ini juga teruk sebagaimana tahun lalu apabila kesemua rumah tenggelam sehingga bumbung pun tidak kelihatan.

“Semalam saya mula pergi melihat rumah dan keadaan sangat menyedihkan apabila tiada apa pun yang selamat, para yang dibina setinggi tiga meter pun runtuh.

Noriah Setapa, 52, (kiri) bersama jirannya di PPS SK Gual Tok Deh. FOTO NSTP

“Keadaan dalam rumah berselerakan dan saya hanya mampu melihat sahaja memandangkan dalam rumah pun paras air masih mencecah 0.3 meter lagi.

“Kini sudah dua minggu kami berlindung di sini dan tidak tahu berapa hari lagi perlu menunggu air surut. Sedih melihat keadaan rumah dan inilah nasib kali sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika ditemui.

Jirannya, Abdul Majid Ahmas, 59, berkata saban tahun mereka yang berada di Kampung Bendang Perol akan menjadi mangsa paling awal berpindah ke PPS dan menjadi peserta paling terakhir pulang ke rumah.

“Paling lama kami berada di PPS adalah sebulan dan sekiranya hujan kembali lebat bermula Ahad ini, bermakna kami akan terus tinggal di PPS.

“Keadaan rumah pula tiada apa yang boleh dikatakan kerana semuanya musnah ditenggelami air. Bumbung pun tenggelam banjir kali ini.

“Kami berharap pelbagai pihak dapat tampil membantu kesulitan yang kami alami selepas ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini