comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk Kampung Iboi bimbang tanah runtuh dari Gunung Inas semakin hampir dengan rumah

BALING: Penduduk Kampung Iboi kini hidup dalam ketakutan susulan kejadian batu dan tanah runtuh dari Gunung Inas di sini.

Kejadian dipercayai berpunca akibat cuaca tidak menentu sejak hujung tahun lalu.

Menurut wakil penduduk, Noor Mohamad Che Hussain, 61, runtuhan batu dan tanah itu berlaku sejak awal tahun ini dan semakin menghampiri kawasan penempatan penduduk.

“Sekarang ini runtuhan itu semakin dekat dengan rumah penduduk, kira-kira 100 meter dari rumah mereka, dengan keadaan hujan yang kerap sekarang, kami bimbang runtuhan itu semakin parah.”

“Ramai penduduk bimbang akan berlaku banjir puing seperti kejadian 4 Julai 2022 sehingga meragut nyawa penduduk dan memusnahkan banyak rumah, trauma penduduk berpanjangan, ada runtuhan yang menyebabkan laluan penduduk untuk ke kebun mereka terhalang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata beliau maklum mengenai perkara itu selepas mendapat aduan daripada penduduk ketika menunaikan solat sunat Tarawih di sini pada Ramadan lalu.

Katanya, keadaan itu berkemungkinan berlaku akibat cuaca panas dan kering berlarutan sehingga menyebabkan pokok jalar seperti kekacang yang berfungsi mencengkam tanah dan batu kecil mati.

“Apabila pokok menjalar ini mati, tanah dan batu semakin renggang dan ia berisiko berlaku runtuhan yang besar apabila musim hujan.”

“Saya sudah ketengahkan perkara ini kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk pantau keadaan ini.”

“Perkara ini serius dan saya mohon kerjasama JMG untuk melakukan kajian mengenai risiko runtuhan ketika hujan,” katanya ketika ditemui di Majlis Baling Beraya di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya.

Sementara itu, Abdul Gafar berkata jambatan baru bagi menggantikan jambatan yang musnah di Kampung Iboi sudah mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan dengan kos kira-kira RM23 juta.

“Saya dengar peruntukan untuk jambatan ini sudah diputuskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)…sama juga macam Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 2 Baling yang bermula dari Teluk Temelah sampai ke Sungai Limau.”

“Sekarang peringkat konsultan sedang buat design (reka bentuk) dan atas kapasiti pegawai daerah, saya minta design itu mestilah kita bawa runding ataupun dibentang kepada stakeholder (pemegang taruh) maknanya jawatankuasa peringkat daerah, pimpinan kampung supaya faedahnya nanti akan mudah diterima oleh rakyat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini