Tumpuan :
Nasional

Penduduk Kampung Lungkidau terputus hubungan, jambatan gantung tidak selamat digunakan

Jambatan gantung Kampung Lungkidau, Paginatan tidak selamat digunakan berikutan paras air sungai naik dengan deras akibat hujan lebat berterusan sejak semalam. – FOTO: IPD Ranau

RANAU: Penduduk Kampung Lungkidau, Paginatan, di sini terputus hubungan selepas jambatan gantung yang menghubungkan kampung berkenaan tidak selamat untuk digunakan.

Ia berikutan paras air sungai naik dengan deras akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak menggunakan jambatan gantung berkenaan kerana tidak selamat untuk digunakan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berada di tempat yang selamat dan jauhkan diri dari kawasan rendah yang mudah banjir.

“Elakkan perjalanan jika tidak penting, terutamanya di kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir atau tanah runtuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan supaya menyediakan bekalan kecemasan seperti air bersih, makanan dan lampu suluh untuk menghadapi kemungkinan gangguan bekalan elektrik.

“Periksa sistem saliran di rumah anda dan pastikan tiada halangan untuk membolehkan air mengalir dengan lancar.

“Sekiranya tinggal di kawasan yang berisiko banjir, bersiap sedia untuk berpindah segera jika diarahkan pihak berkuasa dan bawa dokumen penting.

“Jaga keselamatan diri, keluarga serta sentiasa ikuti arahan dan amaran daripada pihak berkuasa tempatan atau agensi keselamatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini