Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penduduk khuatir ancaman keselamatan, mohon segera kerja pembaikan

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

AMPANG: Mohon segerakan kerja pembaikan.

Itu gesaan orang awam di sekitar Jalan Maju 1/14 Lembah Maju, Pandan Indah, Ampang, susulan kerja-kerja pembaikan tebing yang runtuh di tempat meletak kereta awam di kawasan itu pada awal pagi Isnin lalu.

Dakwa mereka, meskipun berpuas hati dengan kerja baik pulih sedang dijalankan, mereka bimbang memikirkan risiko keselamatan diri dan keluarga.

Tinjauan Buletin TV9 siang tadi mendapati, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sudah pun menutup kawasan itu dengan pita keselamatan.

Bahkan penghadang konkrit turut diletakkan bagi mengelak kenderaan dan orang awam daripada menghampiri kawasan tebing berkenaan.

Kerja pembaikan kini tertumpu di sebahagian tebing yang terjejas teruk.

Bagi orang awam yang bekerja di sekitar kawasan berkenaan, mereka berharap agar kerja-kerja pembaikan dapat disegerakan, kerana dakwa mereka setiap masa mereka dalam kebimbangan memikirkan risikonya.

“Memang membimbangkan, sebab saya kerja dekat sini. Tempat runtuhan pun berdekatan dengan tempat kerja. Jadi memang membimbangkan juga lah. Tapi nak buat macam mana, nak kena datang kerja juga,” kata Khairul Azwan Md Yusuf, 44 tahun.

Bagi Adrean Untam, dia kini cuma mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan secepat mungkin kerana tidak mahu penduduk lain senasib dengannya.

Dia yang juga pemilik Proton Saga yang terjatuh ke dalam runtuhan tebing itu memaklumkan itu kejadian kali kedua berlaku di kawasan berkenaan.

Katanya selepas kejadian itu – dia hilang mata pencarian.

“Memang sekarang ini kereta tu tak boleh jalan. Jadi saya pun dah tak dapat nak buat kerja. Dah tiga hari sejak kejadian itu.

“Kereta itu merupakan punca pendapatan saya, kalau tak boleh jalan, tak berasap lah dapur.

“Jadi kalau boleh, cepatkan juga penyelenggaraan, sebab tanah itu semakin ke dalam tu. Saya bimbang jugak sebab tak berani dekat sana takut nanti jadi lagi gelongsoran.

Isnin lalu, MPAJ dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja pembaikan tebing sedang dilakukan pihak JPS.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini