Oleh: Selwam Arjunan
BAYAN LEPAS: Keresahan penduduk terpaksa bermalam di rumah dengan bumbung bocor akibat hujan dan ribut di sini, semalam tidak berpanjangan apabila kerosakan dialami mula diperbaiki oleh wakil rakyat kerajaan negeri, hari ini.
Selain rumah kediaman, infrastruktur awam khususnya jalan raya yang terhalang susulan kejadian pokok tumbang juga sedang dibersihkan pihak berkuasa.
Bagi penduduk Kampung Sungai Batu Bukit, mereka masih tidak dapat pulih dari kejutan kejadian awal pagi Ahad.
Rata-rata semua mangsa sedang lena tidur ketika dilanda hujan dan ribut yang menyebabkan pokok tumbang atas rumah.
Shaliah Shafie, suri rumah berkata bunyi kuat mengejutkan 8 anggota keluarganya yang berada di bilik tidur.
“Kira-kira dalam jam tiga pagi, kami tengah tidur terkejut jaga dengar bunyi berdentum bumbung atas rumah.
“Lari keluar tengok ada pokok atas bumbung rumah. Tapi terima kasih juga ADUN cepat datang beri bantuan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, pagi tadi.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Anuar Alwee berkata bumbung rumahnya bocor ditimpa pokok.
“Waktu itu saya duduk dalam rumah, tiba-tiba pokok hempap saya pun terkejut tengok bumbung nak berlubang.
“Pergi luar tengok ada pokok getah ranap bumbung. Saya buat laporan dan ADUN pun ada datang beri apa yang patut, terima kasih,” katanya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata lebih 30 rumah mengalami kerosakan bumbung dan struktur rumah akibat pokok tumbang.
Selepas melakukan tinjauan semalam, pihaknya telah menempah bahan binaan yang diperlukan serta menggaji tukang rumah.
Katanya, kerja-kerja pembaik pulihan dimulakan pagi tadi dan dijangka siap pada hari ini.
“Kita sudah mula kerja-kerja pembaikan jam sembilan pagi tadi. Kalau sebolehnya tak nak terlalu lama masa diambil sebab kita faham situasi mangsa yang susah.
“Apabila pokok tumbang dan bumbung bocor terpaksa duduk dalam kegelisahan dan ketakutan dengan pokok atas rumah.
“Sekarang pun rasanya akan hujan jadi akan terkesan juga bagaimana mereka tinggal di rumah hari ini, jadi kita cuba selesaikan hari ini juga, kecuali kerja-kerja major akan mengambil masa dua hingga tiga hari,” katanya lagi.
Selain kerja-kerja pembaikan pada hari ini, pihaknya juga telah selesai menggantikan bumbung terbang di 7 buah rumah di Flat Taman Emas, di sini, semalam.
Katanya, kesemua kerja pembaikpulihan itu mencecah kos lebih RM30,000 yang ditanggung Pusat Khidmat beliau.
Beliau yang juga Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang turut menzahirkan penghargaan buat Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Pertahanan Awam yang membantu mengalihkan pokok tumbang bagi melancarkan kerja pembaikan rumah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.