comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penduduk mahu ban lebih kukuh, elak banjir berulang

 

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

KAJANG: Bagai melepaskan batuk di tangga. Itu situasi paling tepat bagi menggambarkan projek ban fasa ketiga di Sungai Langat yang dijalankan di sini bermula Ogos tahun lalu.

Penduduk mendakwa ban yang dibina rendah dan tidak memadai bagi mengurangkan kesan limpahan air ke atas kediaman mereka.

Bagi lebih 700 penduduk Taman Sri Langat, Kajang sejak tahun 1988 lagi banjir kilat umpama perkara wajib di kawasan itu setiap kali hujan lebat.

Terbaharu, banjir kilat pada 8 Mei lalu telah menyebabkan lebih 60 penduduk terjejas dan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan MPKJ Taman Sri Langat Reko.

Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Langat, situasi itu disebabkan projek pembinaan ban sungai yang tidak kukuh selain perubahan cuaca dan taburan hujan lebat yang luar biasa.

“Sepanjang ban itu dibina, tiada perubahan yang berlaku. Peruntukannya melebihi RM2 juta.”

“Kita nak jangka panjang yang lebih sempurna. Buatkan ban yang paling elok. Pasangkan besi ‘sheet file’ untuk benda ni lagi elok.”

“Dari 2004 sampai 2024 tiada perubahan, cuma ban sahaja perubahan yang ada,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Penduduk, R.Vignasewary mencadangkan agar pihak kerajaan membuat kerja pemasangan kepingan besi (sheet pile) sebagai penghadang pergerakan tanah di sungai itu.

“Kumpulkanlah bajet untuk memasang sheet pile (kepingan besi), sekali sahaja seumur hidup.”

“Kerajaan pun boleh jimatkan duit daripada duit keluar masuk buat ban ini, pemasangan ‘sheet pile’ (kepingan besi) akan membantu untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Ada juga penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri, dengan mengumpulkan dana RM80,000 dua tahun lalu untuk membina pam air bagi mengelakkan kediaman mereka dinaiki air.

Inisiatif tersebut sekurang-kurangnya berjaya menghentikan bencana tersebut sepanjang dua tahun ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Kajang, David Cheong ketika ditemui berkata pihaknya dalam proses untuk melaksanakan penyelesaian jangka pendek dan panjang.

“Perancangan jangka pendek iaitu mendalamkan sungai ini akan mula dalam masa terdekat.”

“Sebelum ini sudah nak dimulakan tapi kerana ada kertas kerja dan halangan jadi tertunda sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui pagi tadi.

Tambahnya, projek tebatan banjir Sungai Langat Dua sedang dirancang bagi meletakkan noktah buat bencana alam yang kerap melanda kawasan berkenaan.

Namun ianya memakan sedikit masa kerana memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini