comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk Orang Asli runsing, tanaman dimusnahkan haiwan liar

Tanaman penduduk yang dimusnahkan gajah liar di Kampung Tendrik, Pos Bihai. FOTO: Ihsan Penduduk

GUA MUSANG: Lebih 15 pemilik kebun Orang Asli di Kampung Tendrik, Pos Bihai `berputih mata’ apabila tanaman yang sudah membuahkan hasil dimusnahkan kera dan gajah sejak hampir lima bulan lalu.

Penduduk mendakwa, kejadian yang sudah lebih 10 kali berlaku di kampung terbabit sejak awal tahun ini memberi kesan kepada pendapatan dan sumber makanan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tendrik, Pelinejon Assut, berkata serangan gajah dan kera semakin kerap berlaku akhir-akhir ini apabila haiwan liar itu memusnahkan tanaman pisang, ubi kayu dan betik yang ditanam penduduk.

Lebih menyedihkan, katanya, apabila tanaman yang dirosakkan sudah membuahkan hasil dan hanya menunggu masa untuk dituai.

“Rasa kecewa sangat apabila melihat buah pisang yang sudah boleh dituai hasilnya dirosakkan gajah dan beruk liar. Haiwan liar ini datang dan merosakkan tanaman bukan untuk makan.

“Adakalanya sehingga hampir 100 ekor kera liar yang datang merosakkan tanaman penduduk di sini. Kami pun takut untuk menghalaunya kerana mereka dalam kumpulan yang besar.

“Apabila keadaan ini kerap berlaku, penduduk jadi putus asa untuk bercucuk tanam dan ia juga secara tidak langsung memberi kesan kepada pendapatan kami Orang Asli yang menyara hidup dengan bercucuk tanam,’ katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Adi Along, 78, pula berkata kemunculan gajah di kebun pisangnya kira-kira jam 7 pagi tadi mengejutkan dia dan anaknya.

Katanya, dia terkejut apabila melihat rumah di dalam kebun dirosakkan gajah liar terbabit, namun bersyukur kerana ketika kejadian dia tiada di rumah kebun itu.

Adi berkata, wakil penduduk sudah membuat aduan mengenai kejadian itu dan berharap ada tindakan segera daripada pihak berwajib.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini