comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk & peniaga harap penyelenggaraan siap mengikut jadual

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Penduduk termasuk peniaga di sekitar Lembah Klang mula menyimpan bekalan air berikutan gangguan yang dijadual berlaku esok hingga Jumaat ini.

Meskipun notis awal telah diberikan kepada pengguna berikutan kerja penambahbaikan aset di Loji Rawatan Air Fasa Satu Sungai Selangor, namun sebahagian mereka berharap kerja penyelenggaraan tidak berlarutan dalam tempoh lama dan dapat diselesaikan segera.

Golongan peniaga merupakan antara yang terjejas teruk setiap kali berdepan masalah bekalan air.

Oleh itu mereka perlu bersedia dengan sebarang situasi supaya perniagaan dapat bertahan sehingga bekalan air kembali pulih.

Peniaga di Jalan Kuching, Fatimah Ahmad berkata. isu gangguan bekalan air bukan perkara asing dan sebagai peniaga, ia amat membebankan sekiranya berlanjutan.

Tidak mahu berdepan dengan situasi yang membebankan, Fatimah membuat persiapan awal dan memastikan bekalan air bersih sentiasa disimpan di kedai masing masing.

“Lepas tutup kedai saya akan tadah air untuk kegunaan esok dan di kedai saya pun ada menyediakan beberapa tong dan tangki.

“Ada air di simpan di dalam tong untuk kegunaan mencuci dan ada juga disimpan untuk kegunaan memasak, harap ia boleh bertahan dan masalah ini tidak berlarutan 24 jam.” katanya yang ditemui Buletin TV3.

Selain mengasingkan air untuk memasak dan membasuh, segala peralatan memasak juga segera dibersihkan bagi memastikan ia tidak mengganggu operasi di kedai ketika ketiadaan bekalan air esok.

Bagi Zulhimi Muhammad Zubir pula, dia akan menyiapkan beberapa tong air untuk dibawa ke gerainya.

“Saya memang sediakan tong yang agak besar untuk menyimpan bekalan air selama tiga hari. Malam ini pun saya akan simpan lagi bekalan air.” katanya.

Pengguna yang ditemui berharap penyelenggaraan yang dijalankan dapat selesai mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya dapat notis dalam bulan lepas mengenai bekalan air terganggu tapi dimaklumkan ia berlaku berperingkat dan tidak lama.

“Hal ini melegakan saya. bagaimanapun saya tetap buat persiapan awal dengan menadah air, walaupun keluarga saya kecil tapi simpanan air tu cukuplah untuk kami guna sepanjang penyelengggaraan dibuat.” katanya.

Mei lalu Syarikat Air Selangor Sdn Bhd mengeluarkan notis mengenai gangguan bekalan air berjadual.

Antara kawasan yang terjejas Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak,Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor bermula jam 9:00 pagi esok.

Pun begitu. Kerja penyelenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 dijangka siap pada jam 7:00 malam esok.

Pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat bermula jam 3:00 pada 6 Jun.

Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka mencapai sekitar 20 peratus pada jam 3:00 petang, 6 Jun diikuti 90 peratus pada jam 3:00 pagi, 7 Jun.

Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah pada Jumaat jam 12:00 tengah hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini