comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk Petaling, KL, Hulu Langat lega bekalan air pulih

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bekalan air di semua kawasan terjejas di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat kembali pulih sepenuhnya pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pada Selasa lalu, pulih pada jam 6 pagi tadi.

“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

Sejak Selasa lalu, Air Selangor memaklumkan kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat serta henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor.

Bantuan alternatif juga digerakkan melalui lori tangki kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.

Loading...
Terkini