Tumpuan :
Nasional

Penduduk resah gajah liar ceroboh kebun, rumah

Rasmi Salleh menunjukkan rumah papan yang baharu dibina dilibas dan ditolak gajah liar di Kampung Setiq, Pos Pantos, Lipis. – FOTO: Ihsan Penduduk Pos Pantos

LIPIS: Penduduk di Kampung Setiq, Pos Pantos kini resah apabila sekumpulan gajah menceroboh kebun pisang seluas dua hektar dan merosakkan tempat penyimpanan padi huma, awal pagi tadi.

Selain memusnahkan pokok pisang, haiwan itu turut memusnahkan kediaman baharu yang dibina, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi berkenaan.

Penduduk Orang Asli, Rasmi Salleh, 50, berkata ketika kejadian dia dan isteri tiada di rumah kerana menziarahi saudara yang tinggal di Kampung Rentiang, Pos Lanai.

“Pagi tadi apabila tiba di rumah, saya lihat hampir 30 pokok pisang yang sudah berbuah musnah dimakan dan selebihnya dipijak oleh kumpulan gajah liar ini.

“Kawasan tanaman padi huma seluas kira-kira dua hektar yang baru ditanam sejak bulan lalu turut musnah dipijak haiwan ini selepas memasuki kebun pisang dalam tempoh dua malam berturut-turut,” katanya hari ini.

Rasmi berkata, dia juga terkejut apabila sebahagian kediamannya hampir musnah dipercayai ditolak atau dilibas belalai gajah menyebabkan dinding dan lantai runtuh.

“Rumah ini baru dibina dan dijadikan tempat menyimpan padi huma hasil wang yang disimpan untuk membeli peralatan seperti papan dan simen.

“Saya kerugian kira-kira RM20,000 apabila sebahagian pokok pisang yang berbuah dan akan ditebang minggu ini untuk dijual musnah, termasuk kediaman yang baru dibina,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini