comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk resah lubang jalan makin dalam, bimbang keselamatan diri

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SUBANG JAYA: Penduduk di Jalan Persiaran Mulia, dekat sini menyuarakan kebimbangan mengenai masalah tanah mendap yang berlaku di kawasan itu beberapa hari lalu.

Mereka gusar dan bimbang keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain, lebih-lebih lagi pada waktu malam dan ketika hari hujan.

Tinjauan Buletin TV3 di lokasi berlakunya mendapan tanah mendapati, kawasan terbabit telah ditutup dengan pita kuning oleh pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Walaupun begitu, lubang besar di jalan raya masih dapat dilihat, malah penduduk kawasan ini mendakwa sampai ke hari ini, masih tiada sebarang kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Apa yang membimbangkan penduduk adalah keselamatan terutama kanak-kanak, orang tua dan mereka yang menggunakan kenderaan seperti motosikal dan basikal.

Menurut salah seorang penduduk, Henry Pang, lubang tersebut itu agak besar dan membahayakan pengguna jalan raya.

“Lubang tersebut memang besar, memang bahaya. Lagi-lagi macam saya yang selalu menunggang basikal di sin,.” katanya.

Bagaimanapun bagi penduduk – tindakan MBSJ meletakkan pita kuning di kawasan ini merupakan satu tindakan wajar yang mampu mengelak berlaku insiden tidak diingini.

“Mereka kenalah letak papan tanda atau peringatan awas tu kawasan itu. Sebab kalau tak perasan, memang boleh jatuh dan mungkin memakan nyawa.

Sebelum ini MBSJ menerima aduan berkaitan kejadian tanah mendap di Jalan Persiaran Mulia yang menyebabkan sebuah kenderaan tersekat.

Hasil siasatan mendapati mendapan berpunca daripada kerosakan pada paip pembentung pangsapuri Good Year Court 9 Subang Perdana ke saluran utama Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Buletin TV3 sedang menantikan maklum balas dari MBSJ mengenai status terkini masalah mendapan ini.

Loading...
Terkini