comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk terkejut tengok 3 kereta sudah gelongsor ke cerun runtuh

Mohammad (kiri) meninjau kejadian tiga kenderaan terjatuh ke cerun runtuh di Taman Bukit Belian, awal pagi tadi. – foto NSTP

SEREMBAN: Tiga kenderaan milik sebuah keluarga yang diparkir setentang dengan rumah mereka di Taman Bukit Berlian, di sini, terjatuh ke cerun sedalam kira-kira 10 meter (m) yang runtuh pada awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu turut menyebabkan laluan bertar di hadapan deretan rumah penduduk di Jalan Berlian 5 merekah sepanjang 80m dengan kedalaman mencecah 0.6m.

Penduduk, Jessica Lee, 28, berkata insiden berlaku ketika dia sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan suara kecoh dari rumah jiran yang mendakwa ada kenderaan terjatuh ke cerun runtuh.

“Saya segera bangun dan mengejutkan ahli keluarga lain lalu bergegas keluar, namun terkejut apabila mendapati tiga kereta milik kami yang diletakkan di seberang jalan hadapan rumah sudah menggelongsor ke bawah cerun runtuh.

“Kami berasa takut, lebih-lebih lagi jalan turut merekah seperti mahu runtuh. Kami tidak dapat tidur hingga pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sambil memaklumkan dia tinggal di rumah itu bersama sembilan ahli keluarga, Jessica berkata, mereka setuju berpindah kerana bimbang akan risiko berlaku runtuhan lagi berikutan cuaca hujan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Mohammad Idris, berkata pasukannya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.52 pagi tadi

“Kami tiba enam minit kemudian dan mendapati tiga kenderaan jenis Kia Forte, Honda City serta Toyota Avanza, terjatuh ke kawasan cerun yang runtuh, selain berlaku rekahan pada jalan di hadapan rumah.

“Pihak bomba masih melakukan tinjauan, pagi tadi, dan agensi lain yang terbabit juga berada di lokasi bagi memantau serta mengenal pasti situasi pergerakan tanah,” katanya.

Mohammad berkata, cerun itu sedalam kira-kira 10m, manakala runtuhan dan rekahan yang berlaku dianggarkan sepanjang 80m.

“Berdasarkan pemerhatian awal, enam rumah berkemungkinan terjejas dan berisiko dengan kejadian ini.

“Namun, kesemua 12 keluarga yang tinggal di jalan berkenaan telah diarah mengosongkan kediaman masing-masing.

“Mereka setuju berpindah dan kami difahamkan pihak kerajaan negeri akan membuka sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) untuk penduduk yang memerlukan.

“Cuaca hujan ketika ini dan kami bimbang jika berlaku pergerakan tanah lagi. Justeru, kami meminta semua penduduk untuk memberi kerjasama,” katanya.

Loading...
Terkini