comscore
Tumpuan :
Nasional

Penembusan Terowong Tunggal ECRL Enam Bulan Lebih Awal

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatatkan satu lagi kejayaan dengan penembusan terowong tunggal ECRL enam bulan lebih awal dari jadual asal iaitu Terowong Dungun di Terengganu yang merangkumi 871 meter panjang.

Menurut Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali, jangkaan kerja-kerja keseluruhan infrastruktur untuk terowong siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2022, beberapa bulan lebih awal sekiranya tiada perkara-perkara yang melewatkan proses pembinaan terjadi.

Ia adalah hasil daripada usaha keras dan kerjasama oleh kira-kira 100 kakitangan ECRL dari semua peringkat dalam melaksanakan kerja-kerja pembinaan terowong yang telah membawa kepada penembusan Terowong Dungun lebih awal dari jadual.

“Kami berasa bangga kerana projek ECRL masih mencapai tahap kemajuan lebih awal dari jadual iaitu 22.62 peratus pada bulan Mei 2021 walaupun dalam keadaan pandemik yang telah mengurangkan waktu bekerja dan tenaga kerja di tapak pembinaan” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja-kerja penggalian bagi Terowong Dungun mencapai tahap kemajuan 97.4 peratus sebelum aktiviti penembusan dilakukan, sementara lapisan kekal terowong telah mencapai kemajuan memberangsangkan iaitu 702 meter panjang.

Dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter, Terowong Dungun dibina untuk mengelak penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan Kuala Dungun.

Tambahnya, projek ECRL mempunyai 58 buah terowong yang dengan panjang dan lanskap yang berbeza untuk dibina di sepanjang seksyen-seksyen jajaran ECRL yang merangkumi 665 kilometer panjang.

Namun, kerjasama yang padu dan perkongsian pengetahuan antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan melancarkan kerja-kerja penggalian terowong dan memastikan prestasi kejuruteraan adalah seperti yang dijadualkan atau lebih awal dari jadual.

MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala CCC-ECRL merupakan kontraktor EPCC.

Dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026, projek ECRL yang merangkumi rangkaian rel sepanjang 665 km akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

ECRL menjimatkan masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan ITT Gombak dalam masa empat jam.

Loading...
Terkini