
Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menolak dakwaaan bersabit isu tidak peka dengan masalah guru duka lara seluruh negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa prihatin nasib guru-guru terbabit dan memandang serius isu itu.
Katanya, isu guru duka lara iaitu guru yang gagal mendapat tempat pertukaran atau dalam situasi perhubungan jarak jauh dengan pasangan masing-masing hingga berlaku perceraian sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.
KPM akan mempertimbangkan semua permohonan berdasarkan kepentingan pendidikan sebelum proses pertukaran diluluskan.
Beliau berkata, permohonan pertukaran mengambil kira banyak faktor dengan semuanya dilakukan mengikut proses sedia ada.
“Keutamaan kita adalah berdasarkan keperluan guru itu sendiri tidak boleh jejaskan pendidikan dan sebarang pertukaran itu mengikut sistem pendidikan, keutamaan kita masih lagi pasangan jarak jauh keselamatan dan kesihatan serta sebab-sebab yang lain lah dalam konteks kebajikan guru itu sendiri”, katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Institut Pendidikan Guru, Kampus Datuk Razali Ismail di Kuala Nerus, pagi tadi.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, permohonan pertukaran guru berlangsung sepanjang tahun tetapi proses penempatan guru hanya akan dibuat semasa cuti sekolah.
Sementara itu KPM turut memandang serius isu guru yang dikesan melakukan kerja sambilan sehingga menggangu tugas hakiki mereka.
Guru terbabit perlu mendapat kebenaran sebelum menjalankan perniagaan atas talian atau bekerja sambilan sebagai guru tuisyen.
Fadhlina memberi peringatan kepada warga pendidik supaya sentiasa fokus tugas hakiki untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.
“Apa sahaja pekerjaan yang mereka buat tidak boleh menggangu tugas hakiki dan harus dapatkan kebenaran seperti berniaga online dan sebagainya.”
“Jadi pesan saya tumpu pada kerja sedia ada dan komitmen kita untuk meningkatkan pendidikan negara”, ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Pendidikan akan menyediakan khidmat kaunseling kepada anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipukul di pasar tani di Chukai, Kemaman, Jumaat lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.