comscore
Tumpuan :
Nasional

Penempatan warga asing di Bandar Sultan Suleiman diserbu imigresen

Anggota imigresen membuat pemeriksaan pada warga asing dalam operasi di kawasan perumahan di Jalan Sultan Abdul Samad di Bandar Sultan Suleiman di Klang petang tadi.-FOTO: IMIGRESEN SELANGOR / FACEBOOK

KLANG: Kira-kira 1,700 warga asing diperiksa Jabatan Imigresen Selangor selepas mereka menggempur kawasan perumahan di Jalan Sultan Abdul Samad di Bandar Sultan Suleiman menerusi Op Bersepadu petang semalam.

Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, kawasan perumahan membabitkan warga Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Indonesia itu diserbu hasil risikan selama tiga bulan.

“Kita mendapat banyak aduan daripada penduduk setempat dan situasi berkaitan kehadiran mereka di kawasan ini turut disebarkan menerusi media sosial.

“Pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan mereka melakukan kesalahan antaranya tidak memiliki permit atau pas yang sah untuk tinggal di negara ini, tinggal lebih masa dan melanggar syarat permit atau pas,” katanya kepada pemberita pada operasi itu.

Beliau berkata, operasi berkenaan disertai 298 anggota dan pegawai imigresen, Pasukan Gerakan Am Briged Tengah, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sementara itu, tinjauan media mendapati lokasi terbabit adalah kawasan flat lima tingkat yang kebanyakan didiami oleh warga asing bekerja di kilang-kilang berhampiran.

Pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa di beberapa kediaman didiami warga asing di flat berkenaan mendapati kebanyakan mereka tinggal antara lima ke tujuh orang serumah.

Kebanyakan warga asing yang ditemui mengaku bekerja di kilang dan kedai berhampiran dengan menyewa di flat terbabit dengan bayaran antara RM400 ke RM500 bagi satu bilik sebulan.

Ada juga warga asing mengaku tinggal di flat terbabit kerana ditempatkan oleh majikan mereka yang menyewa kediaman untuk dijadikan sebagai asrama pekerja.

Menurut Khairrul Aminus, proses dokumentasi warga asing itu masih dijalankan dan pihaknya belum dapat memberikan jumlah penahanan atau mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini