comscore
Tumpuan :
Nasional

Penemuan mayat berbungkus dengan kain selimut tiada unsur jenayah

Foto hiasan

BUKIT MERTAJAM: Polis mengesahkan sebab kematian seorang lelaki warga asing yang mayatnya ditemui dalam keadaan berbungkus dengan kain selimut di kebun kelapa sawit di Jalan Kuala Tasek Machang Bubok, di sini, Sabtu lalu adalah berpunca daripada saluran darah menyempit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, berkata ia berdasarkan laporan bedah siasat yang baharu diterima dari Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Menurutnya, dalam kejadian jam 2.55 petang itu, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat berbungkus dengan kain selimut.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa masih berpakaian lengkap dengan berbaju T berwarna hijau dan berkain pelekat berwarna kelabu.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mayat dan dipercayai si mati bukan warga tempatan memandangkan tiada tanda suntikan vaksin ‘Bacillus Calmette Gurrain’ (BCG) ditemui pada bahu si mati,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng San berkata, melalui pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati tiada kesan kecederaan seperti ditikam atau luka pada tubuh badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik HBM sebelum hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan saluran darah menyempit.

“Berikutan itu, kes diklasifikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Jelasnya, setakat ini identiti mangsa masih belum dapat dikenalpasti dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian dapat tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah atau mana-mana balai polis berhampiran.

Loading...
Terkini