KOTA TINGGI: Polis masih belum menerima laporan berkaitan kehilangan ahli keluarga susulan penemuan rangka manusia di loji kumbahan dekat Taman Seri Penawar, Bandar Penawar, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya juga tidak menerima laporan kehilangan pekerja di kawasan loji itu.
Katanya, pihak polis masih menunggu laporan siasatan daripada pihak perubatan selepas spesimen tulang dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yusof turut menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Asnalisz Zainal di talian 016-444 6871 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis daerah Kota Tinggi ditalian 07-883 7222.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.