GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan Medical Evacuation (Medevac) membawa pesakit warga emas Orang Asli dari Pos Balar ke Hospital Gua Musang dua hari lalu.
Pesakit, Along Pa Busu Aming, 65, mengalami sesak nafas, demam dan batuk serta tidak boleh berjalan dan memerlukan pengusung untuk dibawa ke pesawat.
Penolong Penguasa Bomba Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Mohd Rizzan Jafri berkata, pesakit bersama pengiring dibawa menaiki pesawat Agusta Westland 139 (AW139).
Katanya, pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang pada jam 12.44 tengah hari dan tiba di Pos Balar jam 1.45 tengah hari untuk mengambil pesakit.
“Dengan bantuan penduduk kampung, pesakit diusung menggunakan pengusung untuk di bawa ke helikopter kerana tidak dapat berjalan.
“Helikopter tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada jam 2.05 petang dan pesakit diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk di bawa ke hospital dengan menggunakan ambulans yang sudah menanti di sana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rizzan berkata, operasi diketuai oleh Juruterbang, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Faizal Izani Azizan dan dibantu tiga lagi anggota.
“Alhamdulillah pesawat selamat mendarat di Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang pada jam 3.10 petang. Keadaan cuaca dengan tiupan angin kencang, hujan lebat dan berawan rendah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.