comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengagihan SARA 2024 berjumlah RM700 juta secara berperingkat mulai hari ini

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM700 juta diagihkan secara berperingkat mulai hari ini dengan pelbagai penambahbaikan termasuk diperluaskan kepada 210,000 penerima.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan bagi program itu ditambah lima kali ganda kepada RM700 juta berbanding RM130 juta tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan lebih besar itu membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima SARA kepada 700,000 orang berbanding 210,000 pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, sukacita saya maklum program subsidi bersasar SARA akan kembali bermula hari ini secara berperingkat,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Gambar hiasan

Pelaksanaan SARA akan bermula hari ini bagi penerima dari Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari negeri Sabah, Sarawak dan Labuan akan bermula 19 Februari depan.

Bagi penerima program SARA di Semenanjung Malaysia, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.

Bantuan SARA kepada penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari dan 12 Ogos melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.

Selain itu, penggunaan kredit program SARA akan diperluaskan kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Anwar berkata jumlah bantuan juga dinaikkan sehingga RM1,200, iaitu kenaikan sekali ganda dari tahun lalu.

“Nilai bantuan yang dipertingkatkan ini sebagai transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat.”

“Penambahbaikan program SARA ini, satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI.”

“Insya-Allah, kerajaan akan mengumumkan lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan-bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan,” katanya.

Loading...
Terkini