comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengalaman, kredibiliti Anwar mampu bangunkan negara

KUALA LUMPUR: Pengalaman dan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim, diyakini memberi kelebihan kepada beliau untuk membangunkan negara dengan mengambil kira keadilan serta kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Khairuddin Othman, berkata dengan kelebihan itu, Perdana Menteri ke-10 itu, yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR, mampu memaju dan memulihkan ekonomi Malaysia ke tahap lebih baik.

“PH Selangor berdoa agar Malaysia dapat dimajukan dan ekonomi dapat dipulihkan, selain keharmonian kepada semua rakyat berbilang kaum.

“Semoga Datuk Seri (Anwar) diberi kekuatan dan sentiasa di bawah rahmat Allah sepanjang pentadbiran sebagai Perdana Menteri yang ke-10,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, PH Selangor menjunjung kasih ke bawah Yang di-Pertuan Agong atas pendirian baginda melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

“PH Selangor melahirkan rasa terharu dan gembira atas perlantikan Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Anwar, 75, yang juga ahli Parlimen Tambun selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, di sini, hari ini.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir bersama enam anak mereka, termasuk bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Anwar mencipta rekod tersendiri apabila buat pertama kali dipilih untuk menyandang jawatan tertinggi pentadbiran negara selepas 24 tahun menanti untuk bergelar Perdana Menteri.

Pelantikan Anwar diperkenan baginda DiPertuan Agong selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

Pelantikan Ahli Parlimen Tambun itu selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Loading...
Terkini