comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengalaman mengundi paling manis buat pengantin baharu 

Foto : NSTP

KOTA BHARU: Kesibukan dengan majlis persandingan bukan penghalang pasangan pengantin baharu dari Kubang Kerian, di sini, untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Promoter syarikat telekomunikasi di Kota Bharu, Nur Ain Huda Ibrahim, 25, yang ditemani, pasangannya, Mohammad Hidayat Yuliza, 25, yang bekerja di syarikat pembersihan tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Stan, kira-kira jam 3.40 petang.

Ketibaan kedua-dua mempelai di pusat mengundi berkenaan lengkap berpakaian songket berwarna biru muda mendapat perhatian petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengundi lain.

Nur Ain Huda berkata, dia bersama suaminya melangsungkan pernikahan malam tadi dan majlis persandingan mereka berlangsung, hari ini.

“Pada Syawal lalu, keluarga kami sudah berbincang serta menetapkan tarikh, selain sudah mengedarkan kad jemputan sebelum tarikh PRN diumumkan.

“Selepas berbincang dengan keluarga, kami sepakat meneruskan majlis persandingan hari ini kerana segala persiapan sudah dilakukan.

“Saya bagaimanapun tidak menyangka tarikh yang dipilih hari ini akan berlangsung PRN di enam negeri termasuk Kelantan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, ini kali kedua dia mengundi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November tahun lalu, namun dalam PRN dianggap pengalaman mengundi paling manis dan tidak akan dilupakan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila dapat menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun sibuk mengadakan majlis persandingan.

“Kenangan mengundi pada hari perkahwinan akan menjadi peristiwa yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Pada masa sama, Nur Ain Huda yang juga anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia berharap agar sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk hasil daripada pilihan raya kali ini.

Sementara itu, Mohammad Hidayat berkata, sebaik isterinya selesai membuang undi, mereka akan bergegas ke pusat mengundi di SK Kampong Tengah, Kuala Krai pula bagi membolehkannya mengundi.

“Saya harap sempat tiba ke pusat mengundi di Kuala Krai sebelum jam 6 petang,” katanya.

Loading...
Terkini