KLANG: Polis menahan seorang penganggur dipercayai terbabit dalam kes seorang lelaki maut ditembak di Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu, berkata lelaki berusia 20-an itu ditahan di Kapar jam 12 tengah hari semalam.
“Usaha mengesan suspek lain dalam kes ini sedang giat dijalankan”.
“Kami juga menyiasat motif kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut ditembak di Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang, di sini, Rabu lalu.
Vijaya dilaporkan berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian tembakan yang berlaku di kawasan Kapar.
Siasatan awal mendapati, saksi awam terdengar bunyi beberapa das tembakan serta kemalangan kecil di sekitar lokasi tempat kejadian.
Katanya, mangsa yang berusia 36 tahun mempunyai 12 rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah.
Artikel berkaitan: Lelaki maut ditembak, ada 12 rekod jenayah lampau