comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengarah Filem Terkenal, Mamat Khalid Meninggal Dunia

IPOH: Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah.

“Arwah pengsan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia,” katanya ringkas melalui pesanan aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Punca kematian tidak dapat diketahui namun difahamkan akibat serangan jantung.

Selain menumpukan masanya dalam bidang perfileman, arwah juga merupakan pemilik kafe Sarang Art Hub yang dibuka di Tanjung Malim sejak 2016.

Allahyarham atau nama sebenarnya, Mohamad bin Mohamad Khalid, 58, merupakan seorang penulis skrip dan pengarah filem selain merupakan adik kepada kartunis terkenal negara Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat.

Allahyarham yang dilahirkan di Ipoh, meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

Antara filem air tangan arwah yang terkenal pastinya adalah ‘Zombi Kampung Pisang’, ‘Hantu Kak Limah’,  ‘Rock’ dan ‘18 Puasa di Kampong Pisang’ yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat filem genre lucu dan hiburan keluarga. – BERNAMA

Loading...
Terkini