comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengarah, pengurus syarikat ditahan, tipu dokumen RTK 2.0

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pengurus syarikat ditahan dalam serbuan di sebuah pejabat di Desa Petaling, di sini, kelmarin.

Kedua-duanya disyaki membuat kenyataan palsu berhubung pendaftaran buruh asing.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yoosuf berkata, wanita dan lelaki tempatan itu disyaki memalsukan dokumen bagi permohonan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

“Cubaan dapat dihidu oleh pegawai Pasukan Kerja RTK 2.0 sewaktu semakan dokumen dijalankan sebelum kelulusan kuota diberikan oleh Bahagian Pekerja Asing JIM KL.

“Syarikat berkenaan menjalankan aktiviti pertanian disyaki mengemukakan dokumen geran tanah palsu bagi mendapatkan kelulusan kuota,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil tindakan proaktif JIM KL menyemak ketulenan dokumen yang dilampirkan berjaya mematahkan cubaan penipuan itu.

Katanya, selepas mengesan dokumen palsu berkenaan, empat pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan menyerbu premis terbabit kira jam 11 pagi.

“Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 56(1)(k), Akta Imigresen 1959/63.

“Pengarah syarikat cuba memperolehi untuk diri orang lain (pekerja asing) suatu pas dengan memberi kenyataan palsu iaitu bersubahat atau membabitkan diri dalam komplot jenayah untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah akta ini,” katanya.

Wan Mohammed Saupee menasihatkan majikan yang mendaftarkan pekerja warga asing di bawah RTK 2.0 supaya segera hadir ke pejabat RTK bagi menyelesaikan proses verifikasi.

Katanya, proses verifikasi penting supaya urusan pengeluaran permit kerja sementara dapat dikeluarkan tanpa menunggu saat akhir bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Majikan hendaklah bertanggungjawab bagi memastikan semua dokumen yang dikemukakan semasa permohonan adalah tulen dan diperolehi daripada agensi pengeluar dokumen dan bukan melalui ejen atau pihak ketiga.

“Pihak JIM KL tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara dipelihara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini