KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya juga menahan pasangan berkenaan di pejabat SPRM, tengah hari kelmarin.
Bagaimanapun katanya, pasangan terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM untuk hadir ke mahkamah hari ini.
Difahamkan, pasangan berkenaan akan didakwa berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang itu.
Sebelum ini media melaporkan, Azam mengesahkan pihaknya menyiasat pelaburan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.
Media turut melaporkan SPRM menyerbu FashionValet dan menurut sumber, selain FashionValet turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB.
Vivy dan Fadzaruddin diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Isu berhubung kerugian pelaburan terbabit turut mendapat perhatian di media sosial sebelum Vivy dan suaminya turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.
Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.
Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik COVID-19.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.