comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengasuh ditahan, bayi bawah jagaannya meninggal dunia

Foto hiasan

BUTTERWORTH: Polis menahan seorang pengasuh wanita bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan yang berada di bawah jagaannya, di sini, semalam.

Wanita berusia 30-an itu direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat dari Hospital Seberang Jaya (HSJ) memaklumkan seorang bayi perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri telah disahkan meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati bayi perempuan warga tempatan berusia tujuh bulan itu ditinggalkan sepasang suami isteri kepada pengasuh (suspek) untuk dijaga setiap hari semasa hari bekerja.”

“Ketika kejadian, bayi itu dikatakan sedang tidur dalam buaian dan semasa suspek (pengasuh) hendak membetulkan kedudukan bayi berkenaan didapati bayi itu tidak sedarkan diri.”

“Suspek seterusnya membawa bayi itu ke HSJ untuk mendapatkan rawatan namun kira-kira jam 4 petang (hari sama) bayi itu telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, bedah siasat yang dijalankan ke atas bayi itu mendapati punca kematian adalah disebabkan jangkitan kuman pada salur pernafasan.

“Susulan kematian bayi itu, kita menahan suspek (pengasuh si mati) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini