comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pengendali taska tidak dikenakan tindakan undang-undang jika tidak hubungi ibu bapa

 

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan tiada tindakan atau hukuman yang akan dikenakan terhadap pengusaha atau pengendali Taman Asuhan Kanak-kanak, (TASKA) sekiranya tidak menghubungi ibu bapa.

Sebaliknya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dicadangkan itu hanya sebagai saranan bagi penambahbaikan usaha mencegah bayi atau kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri memberi penjelasan terhadap perkara itu sebagai menjawab kegelisahan segelintir operator taska yang khuatir dikenakan tindakan sekiranya tidak menghubungi ibu bapa sebagai peringatan keberadaan kanak-kanak.

Ujarnya, saranan untuk menghubungi ibu bapa itu juga adalah satu langkah progresif yang dapat mengurangkan risiko tertinggal anak di dalam kereta untuk satu tempoh yang lama.

“Ada juga cakap mereka takut akan dikenakan tindakan undang-undang. Sebenarnya tidak, ini hanya SOP, walaupun kita tak letak dalam SOP, sekurang-kurangnya dalam masa yang singkat ni, kalau berlaku apa-apa misalnya ditinggal dalam kereta jadi sekurang-kurangnya masa yang ditinggalkan tak lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Sri Pentas, petang tadi.

Pada masa sama, beliau juga berpendapat tidak wajar untuk operator taska menaikkan kos penjagaan dengan alasan perlu menghubungi ibu bapa sekiranya kanak-kanak di bawah jagaan mereka tidak hadir.

Katanya, operator taska tidak perlu menganggap ianya sebagai satu kerja tambahan, sebaliknya perlu dipandang dari sudut tanggungjawab sesama manusia.

Terdahulu media melaporkan KPWKM mengeluarkan SOP mewajibkan operator taska menghubungi ibu bapa sekiranya anak mereka tidak hadir bagi mengelakkan kes kematian kanak-kanak tertinggal di dalam kereta.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini