Tumpuan :
Nasional

Pengerusi madrasah, pembantu mudir mengaku tidak bersalah amal ajaran Aurad Muhammadiah

Pembantu mudir, Muhammad Ghazali Othman, 54, (tengah) dan Pengerusi madrasah, Lufti Muhammad Hamin, 58, (kiri) masing-masing didakwa atas pertuduhan mengamalkan zikir Aurad Muhammadiah yang bertentangan dengan hukum syarak manakala mudir madrasah, Ahmad Azam Jaafar, 46, (kanan) didakwa atas pertuduhan menguruskan sekolah Islam di negeri ini tanpa perakuan Pendaftaran Sekolah Islam di Mahkamah Tinggi Syariah. FOTO: NSTP

SEREMBAN: Pengerusi madrasah dan pembantu mudir masing-masing didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini atas pertuduhan mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah yang bertentangan dengan hukum syarak.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh Lutfi Mohamad Hamin, 58, dan Muhammad Ghazalyi Othman, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didapati telah mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah yang merupakan perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak.

Pengerusi madrasah, Lutfi, melakukan perbuatan berkenaan di madrasah dekat Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah, dari Disember 2021 hingga September 2024.

Manakala pembantu mudir, Muhammad Ghazali melakukan kesalahan itu dari hujung 2022 hingga September 2024 di sebuah madrasah di Kampung Senama, Rembau.

Justeru, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.

Jika disabitkan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara selama tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan memohon bon jaminan sebelum ini sebanyak RM2,000 terhadap Ghazali dikekalkan manakala Pendakwa Syarie Mohd Azizuddin Abdullah Halim memohon jaminan RM5,000 terhadap Lutfi.

Mahkamah bersetuju dengan permohonan Rohaizad, manakala Lutfi dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.

Perbicaraan ditetapkan pada 4 Februari 2025 bagi Muhammad Ghazali dan 22 Januari bagi Lutfi.

Sementara itu, Lutfi dengan seorang lagi mudir sebuah madrasah di Kampung Senama, Rembau, Ahmad Azam Jaafar, 46, mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menguruskan sekolah Islam di negeri ini tanpa perakuan Pendaftar Sekolah Islam.

Lutfi melakukan kesalahan itu dari Disember 2021 hingga September 2024 manakala Ahmad Azam melakukannya dari Februari 2023 hingga September 2024 di madrasah sama.

Dengan itu, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah- Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1966.

Jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 dan penjara tidak melebihi setahun.

Mahkamah memerintahkan hukuman denda RM1,700 kepada setiap tertuduh, jika gagal bayar penjara dua bulan dan madrasah tidak dibenarkan beroperasi sehingga mendapat kebenaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini