comscore
Tumpuan :
Hiburan

Penggiat seni anjur Golf Amal bantu artis susah

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha terus giat dilakukan penggiat seni bagi membantu golongan artis sakit dan yang ditimpa kesusahan.

Ini termasuk menggabungkan selebriti popular tanah air dan penggiat sukan dalam pertandingan Golf bagi mengutip dana.

Kejohanan Golf Amal berkenaan akan berlangsung di Kelab Golf Kota Seriemas, Nilai Negeri Sembilan pada 21 Januari ini.

Ia adalah inisiatif Persatuan Karyawan dan dibuka kepada 120 peserta termasuk orang awam.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez  berkata pihaknya komited mengumpul dana Tabung Penggiat Seni bagi membantu insan seni yang memerlukan.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu, lebih 35 artis veteran dan yang ditimpa kesusahan dibantu menerusi tabung itu.

“Karyawan komited nak bantu lebih ramai lagi penggiat seni yang diuji ini. Setiap hari ada sahaja artis yang sakit termasuk yang memerlukan bantuan di hospital tak kurang juga yang meninggal dunia.

Sekiranya tiada kemampuan bagaimana kami (Karyawan) nak bantu mereka. Jadi pertandingan golf ini antara aktiviti awal yang dicadangkan tahun ini untuk membantu mereka.

Saya sangat berharap ianya mendapat sambutan untuk kami melakukan usaha murni ini,” katanya kepada Buletin TV3.

Turut disertai golongan atlet negara, program itu akan disertai selebriti popular tanah air antaranya Datuk Hattan, Datuk Hans Issac, Sharnaaz Ahmad, Shuib serta Rahim Sepahtu.

Sementara itu pelakon drama Gerak Khas, Deen Maidin meminta masyarakat mengubah stigma hidup golongan artis sentiasa senang.

“Hidup ini ibarat roda, ada masa di atas ada masa di bawah, saya sendiri pernah melaluinya.

Saya mohon masyarakat tidak persoal cerita kesenangan sesetengah artis ketika zaman senang..itu bukan persoalannya, sebab semua orang akan melalui masa susah mereka.

Bila susah hanya keluarga yang ada, jika keluarga berada tak apa, sesama rakan inilah yang akan bantu. Jadi selaku rakan, inilah antara usaha saya sedikit sebanyak membantu artis-artis yang dalam kesusahan.

Majlis siang tadi turut dihadiri legenda bola sepak, Datuk Dollah Salleh yang turut akan menyertai kejohanan amal ini.

Setiap penyertaan akan dikenakan bayaran RM300 seorang.

Menyasarkan kutipan dana RM50,000, selain pertandingan golf, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan.

Loading...
Terkini