comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengguna pengangkutan awam berkurangan

Oleh Mieza Syafieza Mohd Fuad

KUALA LUMPUR: Susulan hari pertama berkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan semalam, di dapati jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam berjaya dikurangkan secara ketara.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij, berkata ini membuktikan rakyat Malaysia dan orang ramai sedia bekerjasama untuk mematuhi arahan Kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Bagi mereka yang masih bertugas pula, jangan risau kerana perkhidmatan bas Rapid Bus masih beroperasi bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia dan orang ramai yang tetap bekerja bagi perkhidmatan-perkhidmatan penting (essential services) sepanjang tempoh kawalan ini.

“Pengamatan kami sejak semalam mendapati jumlah penumpang secara keseluruhannya telah menurun sebanyak 66%. Bagi Rapid KL penurunan adalah sehingga 65.1%, Rapid Penang 50.8%, Perantara MRT sebanyak 75.7%, Rapid Kuantan 62% dan BRT Laluan Sunway sehingga 79.5%.

“Dengan pengurangan jumlah penumpang, mereka juga dinasihatkan mengamalkan jarak sosial (social distancing) apabila keadaan mengizinkan,” katanya kepada Buletin TV3, hari ini.

Muhammad Yazurin berkata, bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap pelanggan dan kakitangan, Rapid Bus akan menyusun semula kekerapan perkhidmatan bas bagi Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Manjung, Rapid Kamunting dan BRT Laluan Sunway.

Penurunan kekerapan perkhidmatan berdasarkan permintaan (based on demand) secara berperingkat akan bermula pada 21 Mac 2020 sehingga diumumkan kelak.

“Rapid Bus akan sentiasa memantau permintaan dan menasihati pelanggan-pelanggan mengenai sebarang perubahan.

“Rapid Bus mengambil initiatif tambahan untuk menggalakkan para pelanggan supaya merancang perjalanan mereka dengan bantuan aplikasi web https://myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk bagi mendapatkan lokasi semasa bas Rapid KL.

“Bagi perkhidmatan Bas Perantara MRT, pelanggan boleh merujuk jadual terkini di laman Facebook @myrapid. Mereka juga boleh menghubungi kami melalui saluran-saluran media sosial atau hotline kami di 03-7885 2585,” katanya.

Tambah beliau lagi, bagi perkhidmatan Rapid Penang pelanggan boleh memuat turun aplikasi Rapid Penang Journey Planner daripada GooglePlay.

“Mereka juga boleh menghubungi Rapid Penang melalui saluran-saluran media sosial atau hotline 04-2558000.

“Rapid Bus prihatin terhadap keselamatan pelanggan dan kebersihan kenderaan, malah telah meningkatkan tahap pembasmian kuman sesuai dengan panduan daripada Perbadanan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya.

Loading...
Terkini