comscore
Tumpuan :
Nasional

Penggunaan Bahasa Inggeris untuk subjek Sains, Matematik bantu perkasa penguasaan 

KUCHING: Keputusan Sarawak untuk melaksanakan sepenuhnya pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris untuk sekolah menengah pada 2026 satu langkah tepat memperkasa mata pelajaran berkenaan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penguasaan Bahasa Inggeris khususnya dalam bidang Sains dan Matematik bukan perkara yang perlu diketepikan memandangkan kebanyakan bahan ilmiah bidang itu banyak dalam Bahasa Inggeris.

Menurutnya, pelbagai perubahan yang dilakukan terhadap sistem pendidikan negara khususnya melibatkan mata pelajaran tertentu menjurus kepada kurangnya penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan graduan-graduan dari universiti tempatan.

“Jika kita pergi ke luar dari Malaysia, sukar untuk kita bertutur dalam Bahasa Malaysia kerana mereka tidak memahaminya.

“Ia kena ada satu pengantara yang mana kedua belah pihak boleh bercakap dan memahaminya, oleh sebab itu Bahasa Inggeris selain Bahasa Mandarin amat digalakkan untuk dipelajari dan diperkasakan, kita tidak sepatutnya menyisihkannya begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas sesi penggulungan kementerian di persidangan Dewan Undangan Negeri DUN Sarawak di Kuching.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee In, berkata akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris untuk sekolah menengah di negeri itu bermula tahun 2026.

Ia selepas kohort pertama pelajar-pelajar sekolah rendah yang sebelum ini menggunakan Bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek terbabit mula memasuki tingkatan satu.

Cadangan terbabit sebelum ini sudah dipersetujui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk sekolah-sekolah menengah di Sarawak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium bahasa untuk mengajar subjek Matematik, Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan.

Ia juga merupakan antara perkara yang dipersetujui dengan kerajaan persekutuan dalam penurunan kuasa autonomi pendidikan kepada Sarawak menerusi perundingan Perjanjian Malaysia 1963 MA 63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini