Tumpuan :
Nasional

Penggunaan soket 3 pin dalam bas dihentikan sementara – Loke

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan semua pengendali bas menghentikan sementara penggunaan soket elektrik 3-pin di dalam bas.

Menterinya, Anthony Loke berkata, syarikat pengendali baharu dan sedia ada kini diwajibkan menyerahkan laporan atau sijil pemeriksaan pendawaian yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.

“Kerajaan komited memastikan setiap pengguna pengangkutan awam merasa selamat, dengan langkah-langkah ini bertujuan mencegah insiden serupa daripada berulang di masa hadapan,” katanya ketika sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Sementara itu, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan seorang remaja berusia 18 tahun akibat renjatan elektrik dalam sebuah bas ekspres pada 1 November 2024.

Pasukan berkenaan melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), MIROS, Suruhanjaya Tenaga (ST), SIRIM, dan PUSPAKOM, mendapati pendawaian elektrik pada bas tersebut tidak teratur serta menggunakan kelengkapan elektrik yang tidak memenuhi piawaian.

“Menurut siasatan, pendawaian dilakukan oleh pihak tidak bertauliah dan pemasangan dari kotak pengagihan (DB) ke soket dilakukan secara terbalik.

“Walaupun struktur bas memenuhi spesifikasi teknikal dan lulus pemeriksaan PUSPAKOM pada Mei lalu, aspek keselamatan elektrik memerlukan perhatian segera,” katanya.

APAD juga telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab kepada Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn. Bhd. JPJ dan agensi ST turut menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas bas berkenaan dan premis syarikat pembuat bas di Selangor.

“Hasil pemeriksaan, sebuah lagi bas milik pengendali yang sama didapati mempunyai pendawaian elektrik serupa. APAD telah menggantung sementara operasi bas tersebut sehingga siasatan selesai,” tambahnya.

Pada 1 November lalu, seorang remaja lelaki dilaporkan maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya di soket sebuah bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini