GEORGE TOWN: Penghantar ayam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu memiliki dua pucuk pistol dan lapan biji peluru tanpa lesen.
Bagaimanapun, tertuduh, Koay Teng Soon, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didapati memiliki enam butir peluru tertulis Thai arms 60/90 MM dan dua butir bertulis S&B 9MM Luger tanpa lesen atau permit senjata.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki senjata api iaitu dua pucuk pistol jenama Smith & Wesson dan Pietro Beretta beserta satu kelopak.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada jam 2 petang di Solok Paya Terubong di sini, 10 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan namun tertuduh yang tidak diwakili peguam mohon jaminan minima.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 Disember depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.