comscore
Tumpuan :
Nasional

Penghantar makanan maut, motosikal dirempuh kereta terbabas 

Kemalangan maut yang membabitkan motosikal yang ditunggangi penghantar makanan dan sebuah kereta Proton Iswara di Jalan Persiaran Aman Jaya 2.- Foto ihsan PDRM

SUNGAI PETANI: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta Proton Iswara di Jalan Persiaran Aman Jaya 2, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Muhammad Hasmadi Jamil, 24, yang menunggang motosikal Honda EX-5 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 10 pagi berhampiran Kolej Vokasional Sungai Petani 1 yang membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta.

Beliau berkata, arah perjalanan kereta yang dipandu wanita berusia 26 tahun itu adalah dari Taman Seroja menghala ke Jalan Alor Setar – Butterworth manakala motosikal mangsa dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu wanita itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Motosikal yang ditunggangi mangsa yang datang dari arah bertentangan pula tidak sempat mengelak kemudian melanggar bahagian sisi sebelah kiri kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, akibat kemalangan itu, kereta dan motosikal terbabit terbabas ke bahu jalan sebelah kanan.

Beliau berkata, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Wanita yang juga jurujual kedai buku itu mengalami kecederaan pada tangan dan kepala dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan lanjut.

“Mayat penunggang motosikal itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk proses bedah siasat,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, kes Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, penunggang motosikal itu beralamat di Flat Paya Nahu, di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini