comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengilang beras harap harga siling beras putih tempatan naik RM3.20 sekilogram

Pengerusi Gabungan Pengilang Beras Malaysia Marzukhi Othman dan ahli gabungan lain menunjukkan perbezaan butiran beras putih tempatan dengan beras import dari negara Thailand, Myanmar, Vietnam dan India di sebuah kilang beras di Simpang Empat, Kangar. – Foto: NSTP

KANGAR: Pengilang beras memberi jaminan bahawa mereka akan meningkatkan harga belian padi kepada RM1,500 per tan sekiranya harga siling beras putih tempatan (BPT) dapat dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram.

Ia adalah susulan langkah kerajaan yang akan meneliti semula harga siling BPT dinaikkan dalam usaha menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah.

Pengerusi Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, kenaikan harga beras itu dilihat perlu kerana selepas lebih 15 tahun harga siling BPT sebanyak RM2.60 tidak pernah disemak dan dikaji semula oleh kerajaan.

“Perkembangan yang berlaku itu sekali gus memberi kesan bukan sahaja kepada pengilang tetapi pesawah di negara ini dan kita sebagai pengilang juga terpaksa menanggung kerugian besar disebabkan harga siling BPT yang rendah itu.

“Pada masa sama, pesawah turut berdepan situasi sama di sebalik kenaikan kos input pertanian dan operasi tanaman anggaran kos untuk menghasilkan sekilogram beras adalah 46 sen kerana ia turut membabitkan beberapa kos lain seperti operasi, utiliti dan pelbagai lagi,” katanya dalam sidang media di sebuah kilang beras di Simpang Empat, di sini hari ini.

Katanya lagi, kenaikan harga siling BPT itu sekurang-kurangnya dapat membantu pesawah menambah hasil mereka dengan pembelian padi yang lebih tinggi.

“Kita menyambut baik hasrat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyemak semula harga siling BPT yang kali terakhir disemak pada 2008,” katanya.

Sebelum ini Mohamad berkata, kerajaan akan meneliti syor supaya harga siling BPT dinaikkan bagi menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.

Loading...
Terkini