comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengisytiharan Kenyir Geopark beri dimensi baharu sebagai destinasi pelancongan eko terkemuka

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Tasik Kenyir mendapat perakuan dan diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan dengan nama ‘Kenyir Geopark’.

Keputusan itu diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaaan Kali-1, Tahun 2023 semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Abdul Wahid Abu Salim yang berlangsung di Wisma Sumber Asli, Putrajaya.

Menerusi mesyuarat berkenaan, Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan telah membentangkan hasil penilaian yang telah dijalankan pada 7-11 Mac 2023 lalu di sekitar di Daerah Hulu Terengganu.

Pihak jawatankuasa pelaksana memaklumkan bahawa permohonan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai salah satu Geopark bertaraf kebangsaan telah memenuhi kriteria untuk diperakukan sebagai Geopark Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, pengisytiharan itu merupakan pencapaian terbaik Kerajaan Negeri yang telah lama berhasrat menjadikan Kenyir sebagai tapak taman geo malah selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) di bawah teras strategik enam, Pendigitalan Terengganu dan Pemantapan Pelancongan.

Tambah beliau, pengisytiharan tersebut sekaligus memberi dimensi baharu kepada Tasik Kenyir yang sememangnya menjadi tarikan utama pelancong ke daerah Hulu Terengganu.

“Tasik Kenyir yang selama ini menjadi tarikan kerana keindahan dan keunikan alam semulajadinya berjaya merekodkan jumlah kedatangan pelancong yang memberangsangkan pada setiap tahun, sudah tentu pengisytiharan ini memberi nilai tambah terutama kepada sektor pelancongan, selain mewujudkan peluang pekerjaan, penjanaan aktiviti ekonomi berkait pelancongan serta pembangunan sosial komuniti terbabit,” ujarnya.

Kawasan Geopark Kenyir berkeluasan 244,900 hektar merangkumi kawasan Tasik Kenyir seluas 26,000 hektar, 340 buah pulau, 15 kawasan geotapak antaranya penemuan fosil kesan tapak kaki dinasour, batu kapur Bukit Bewah, penara Gunung Gagau.

11 tapak warisan budaya seperti Batu Bersurat, Makam Tok Gajah, Kampung Tradisi, serta 10 lokasi biotapak antaranya Gua Bewah, Gua Taat, Sungai Lawit, Taman Orkid, Gunung Gagau dan Santuari Gajah.

Penemuan-penemuan penting telah menonjolkan lagi potensi Gua Bewah sebagai tapak geoarkeologi terkemuka di negara ini dengan penemuan kerangka Bewah Man yang dianggarkan berusia 16,000 tahun dan fosil marin, Shikamaia Sp. (kerang gergasi) yang dianggarkan berusia 250 juta tahun di sekitar dinding gua berkenaan.

Mesyuarat turut menetapkan penilaian semula status Kenyir Geopark pada tahun 2027.

Loading...
Terkini