comscore
Tumpuan :
Nasional

Penglibatan Ahli Majlis dalam membuat keputusan, menyumbang salah guna kuasa – Penyelidik

 

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Penglibatan ahli majlis dalam proses membuat keputusan, antara risiko dikenal pasti memberi ruang kepada rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Siti Sarah Sulaiman berkata, ia juga menjadi punca ketidakcekapan kawalan pembangunan dan sistem perancangan guna tanah, kawalan aktiviti perniagaan dan penyediaan infrastruktur di dalam sesuatu kawasan PBT.

“Antara faktor yang dikaitkan dengan isu ini adalah kekurangan penguatkuasaan, kelemahan sistem pemantauan, campur tangan politik, rasuah dan kekurangan tenaga mahir berpengalaman.

Ketua Penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) , Dr Siti Sarah Sulaiman

“Beberapa risiko yang dikenal pasti memberi ruang kepada rasuah dan salah guna kuasa dan antaranya dalam aspek membuat keputusan (decision making), budi bicara (discretionary power), penguatkuasaan (enforcement) dan rundingan (negotiation),” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Beliau berkata merujuk kepada Seksyen 10(1) Akta Kerjaan Tempatan 1976 (Akta 171), pihak berkuasa tempatan adalah terdiri daripada Datuk Bandar atau Yang Dipertua dan tidak kurang daripada lapan dan tidak lebih daripada dua puluh empat orang Ahli Majlis lagi, yang akan dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang UiTM Shah Alam menjelaskan, antara kriteria dikenakan bagi melantik ahli majlis pihak berkuasa tempatan hendaklah daripada orang yang biasanya bermastautin dalam kawasan PBT itu.

Siti Sarah juga menyarankan agar ahli majlis yang dilantik tidak boleh terdiri daripada orang yang mempunyai jawatan di dalam parti politik atau bukan dalam kalangan orang politik.

“Secara dasarnya, ahli majlis yang mempunyai kepentingan politik perlu menjaga banyak kepentingan bersama parti dan pengundi.

“Ini akan mencacatkan pertimbangan ke atas keputusan yang dibuat dan tiada impartiality ( kesaksamaan),” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat, tempoh perkhidmatan yang lama di sesuatu jabatan juga boleh melahirkan “Little Napolean” terutama dalam membuat dan pelaksanaan keputusan.

Golongan ini merujuk kepada kakitangan yang merasakan mereka mempunyai kuasa seperti pegawai peringkat atasan.

“Salah satu cara bagi mengatasi isu ini adalah dengan membuat pusingan kerja agar seseorang kakitangan tidak berada lama di dalam satu jabatan yang membolehkan mereka memanipulasi pegawai atasan atau keputusan yang perlu dibuat.

“Dari segi PBT, adalah disarankan agar pelaksanaan skim pertukaran pegawai antara PBT dipercepatkan,” katanya.

Namun begitu jelasnya, penelitian perlu dibuat terhadap terma yang sesuai digunakan iaitu Pertukaran Staf ataupun Peminjaman Staf.

Tambahnya, galakan untuk pengembangan kerjaya, ilmu dan pengalaman melalui Cross Fertilisation (Penempatan Silang) juga perlu digalakkan dalam kalangan kakitangan terbabit.

Artikel berkaitan: Percepat pertukaran pegawai PBT, antara resolusi persidangan SPRM

Loading...
Terkini