comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengorbanan ayah pikul anak naik turun tingkat 4

Nadzirah yang tidak boleh berjalan kerana patah tulang paha didukung bapa, Ibrahim ketika naik dan turun tangga. – FOTO: Nadzirah Ibrahim

PETALING JAYA: Kisah kegigihan seorang bapa berusia 61 tahun mendukung anak perempuannya naik dan turun tangga hampir dua tahun kerana tidak dapat berjalan akibat kemalangan di rumah mereka di pangsapuri di Kota Damansara di sini, mendapat perhatian netizen di Tiktok yang turut memuji usaha lelaki itu membantu anak dengan kudrat sendiri

“Kenangan tidak mungkin saya lupa apabila abah yang lanjut usia masih ada kudrat mendukung saya naik dan turun tangga hampir dua tahun kerana tidak dapat berjalan,” kata Nadzirah Ibrahim, 31 tahun.

Berkongsi kisah itu, Nadzirah berkata sepanjang dua tahun dirinya tidak dapat berjalan  dan apa yang dipaparkannya sebagai  kenangan selain penghargaan untuk bapa.

Nadzirah bersama ibu bapa dan suami. FOTO: Nadzirah Ibrahim

Menurutnya, dia mengalami keadaan itu selepas terbabit kemalangan pada Februari 2022 yang menyebabkan tulang paha kanannya patah sehingga tidak dapat berjalan selain perlu menjalani empat pembedahan memasang besi dengan terkini pada 1 Februari lalu kerana tulangnya dijangkiti kuman.

Katanya, dia dijaga ayah dan ibu, Maimon Isa, 55, di rumah keluarga yang tiada lif dan berada di tingkat empat pangsapuri berkenaan.

“Abah dukung saya setiap kali naik atau turun tangga apabila kami pergi hospital untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Selalu abah berhenti untuk tarik nafas apabila kami sampai di tingkat dua dan kadang-kadang abah jalan terus sampai ke tingkat empat kalau nak cepat.

“Kalau tak dukung, abah dibantu abang ipar mengangkat kerusi roda saya untuk naik tangga,” katanya.

Katanya, dia pernah berasa bersalah kerana membebankan bapanya sehingga dia pernah mengurangkan berat badan untuk memudahkan urusan mendukungnya.

“Badan abah lebih kurus daripada saya, jadi saya senyap-senyap kurangkan makan supaya ringan, tetapi apabila abah tahu dia bising dan suruh saya makan seperti biasa, malah beritahu dia mampu dukung saya. Itu menjadikan saya lebih semangat mahu cepat pulih.

“Sembilan bulan selepas kemalangan, saya berkahwin dan sempat tinggal bersama suami (Umar Usman Mahamad Dom) yang mengajar di sekolah di Kuching, Sarawak sebelum kembali bersama keluarga untuk meneruskan rawatan dan pembedahan pada awal bulan ini,” katanya.

Menurut Nadzirah, dia kini dalam proses pemulihan dan mampu berjalan dengan bantuan tongkat. Bagaimanapun, bapa masih setia di sisi dan sentiasa membantu terutama ketika situasi sukar.

“Pengorbanan mereka tiada ternilai dan semua itu membuatkan saya terus positif. Terima kasih juga doa netizen untuk keluarga kami,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini