comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengorbanan demi tugas – 18 kali beraya di perantauan

Komander Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Mohd Khairul Jamil ditemuramah oleh pihak media di Markas SMART, Puchong. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: 18 kali merayakan Aidilfitri bersama rakan seperjuangan di perantauan.

Itu antara pengorbanan Komander Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) Mohd Khairul Jamil demi tugas kepada negara.

Mohd Khairul, 44, berkata, situasi seperti itu sudah menjadi asam garam bagi kebanyakan anggota badan beruniform termasuk dirinya walaupun bergelar komander pasukan.

“Setiap Aidilfitri kami jarang dapat beraya sebab selalu perlu berada dalam mod standby dan bila jadi ketua kita kena fahamlah perkara ini.

“Dalam 18 tahun berkhidmat, saya rasa tak pernah dapat beraya pada hari pertama Aidilfitri bersama keluarga, sebab kita bekerja bahagian operasi jadi perlu sentiasa mod bersedia.

“Saya percaya mana-mana kawan saya, baik polis, tentera atau bomba menghadapi situasi ini,” katanya pada Harian Metro ketika ditemui di Ibu Pejabat Smart di Pulau Meranti, Puchong.

Bagaimanapun, katanya, dirinya bersyukur kerana isteri, Siti Aishah Abdullah, 36, yang juga seorang anggota tentera amat memahami keperluan tugas sebagai sebahagian daripada agensi mencari dan menyelamat (SAR) elit dalam dan luar negara.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila dikerah bagi mengetuai operasi menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye ketika isterinya sarat mengandung Februari tahun lalu.

Menurutnya, anak bongsunya, Nur Medina Sophia Mohd Khairul yang kini berusia satu tahun lahir ketika dia di Turkiye.

“Kami namakan dia sempena nama sebuah masjid iaitu Haghia Sophia di Istanbul.

“Anak pertama dan kedua saya yang kini berusia 15 serta lima tahun juga dilahirkan tanpa kehadiran saya kerana setiap kali isteri melahirkan anak kebetulan saya menyertai operasi.

“Isteri saya adalah tulang belakang keluarga yang banyak berkorban, untuk itu saya ucapkan terima kasih kepadanya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini