comscore
Tumpuan :
Nasional

Penguasa Imigresen Gred KP41 ke atas diberi kuasa tolak kemasukan pengembara

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penguasa Imigresen Gred KP41 ke atas, diberi kuasa untuk memutuskan pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada pengembara di pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika ini kuasa itu diberikan kepada Penolong Penguasa Imigresen Gred KP29.

“Sebagai langkah memperbaiki ke depan, Jabatan Imigresen (JIM) dengan kadar segera akan berikan autoriti untuk putuskan NTL kepada pegawai bertaraf pengurusan dan professional Gred KP41 ke atas,” katanya dalam sidang media khas, di sini hari ini.

Beliau berkata JIM adalah pihak berkuasa yang akan membuat keputusan berkaitan NTL yang mana bergantung pertimbangan kepada beberapa soalan asas kepada pengembara antaranya tempat tinggal di negara ini, sama ada dana perbelanjaan mencukupi dan tiket penerbangan pulang.

Ujarnya, ia bagi mengelak pengembara menyalah guna pas sosial untuk bekerja di negara ini.

“Ini rukun biasa yang menjadi amalan dalam undang-undang antarabangsa berkaitan imigresen. Kalau kita ke United Kingdom, Amerika Syarikat atau New Zealand, mereka akan bertanya soalan itu,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan insiden kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, baru-baru ini melibatkan seorang menteri.

Jelasnya, Jemaah Menteri mengambil perhatian serius perkara berkenaan dan memperakui bahawa komitmen tinggi, kerjasama baik dan disiplin dalam kalangan pegawai imigresen berada pada tahap baik dalam pengurusan sejumlah besar kedatangan pengembara.

“Jemaah Menteri ambil maklum wujud perkara yang perlu diberi perhatian terkait soal tata kelola atau berkaitan insiden dakwaan mengatakan ada beberapa amalan tidak baik telah berlaku.

Ini membawa maksud Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneruskan siasatan. SPRM dah mulakan siastaan. Saya sendiri pagi tadi bercakap dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan memberi komitmen KDN bersedia memberi kerjasama penuh,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dikatakan cuba ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukannya ke negara ini sejurus tiba di lapangan terbang berkenaan.

Kejadian itu tular menerusi media sosial apabila King Sing dikatakan masuk ke ruang balai ketibaan tersebut tanpa memohon pas keselamatan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, seramai 592,490 pelancong China memasuki negara ini dengan 423 orang dikenakan NTL.

Jelasnya, angka NTL itu sangat kecil berbanding pengembara dari Tembok Besar China yang dibenarkan masuk ke negara ini.

“Biar fakta berbicara dari segi itu. Jumlah NTL ini turut dialami negara lain termasuk dari Bangladesh, India dan Indonesia. Angkanya secara relatif (dari negara itu) lebih tinggi berbanding NTL dikenakan ke atas warga China. Ini gambaran jelas menunjukkan bahawa jika sekatan seperti itu dikenakan, mesti ada sebab di sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama, Saifuddin berkata Jemaah Menteri turut meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk melihat semula kewajaran peranan syarikat yang menguruskan pengembara dikenakan NTL untuk dihantar pulang ke negara asal.

Tambahnya, syarikat Mono Circle Sdn Bhd yang dilantik sejak Februari 2015 oleh Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) akan menguruskan tiket pulang serta makan minum pengembara berkenaan.

“Kadang-kadang di sini menimbulkan kekeliruan kerana apabila seseorang dikenakan perintah NTL diminta untuk menyediakan sejumlah wang untuk beli tiket. Kadang-kadang ia disalah anggap sebagai pegawai Imigresen minta duit. Jadi itu perkara yang kita kena teliti semula.

Kita tidak nafi kewujudan amalan segelintir anggota (minta duit), sebab itu siasatan diperlukan tapi yang perlu dijelaskan kepada awam adalah kewujudan satu lagi perkhidmatan yang mengurus pengembara dikenakan NTL,” katanya.

Sementara itu, bagi menambah baik perkhidmatan dari aspek pengurusan dan tata kelola, Saifuddin berkata pihaknya bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk meletakkan papan tanda menuju ke kaunter imigresen sebagai makluman dan peringatan berhubung soalan asas yang akan ditanya kepada pengembara.

“Kita akan adakan ‘helpdesk’ (meja bantuan) yang akan menempatkan pegawai yang boleh berkomunikasi dalam bahasa asing terutama Bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Tamil. Ini adalah untuk memberi penambahbaikan tatkala pengembara sampai ke kaunter dan ada kesulitan dalam memahami. ‘Helpdesk’ akan segera ditempatkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Loading...
Terkini