Tumpuan :
Nasional

Penguasaan asas literasi, numerasi Tahap 1 jadi fokus KPM

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Penguasaan asas literasi dan numerasi menjadi fokus utama Kementerian Pendidikan (KPM) untuk Tahap 1 sekolah rendah dalam Kurikulum Persekolahan 2027.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, bagi merealisasikan usaha itu, KPM sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara, termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.

Menurut beliau juga, usaha tersebut bagi meningkatkan tahap penguasaan literasi dan numerasi dalam kalangan murid sekolah rendah.

“Kelas prasekolah akan diperluaskan ke seluruh institusi pendidikan di bawah KPM dalam usaha memastikan isu keciciran murid termasuk penguasaan literasi dan numerasi dapat ditangani dari peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan yang bertanyakan silibus baharu yang akan diguna pakai menjelang tahun 2027 dan bagaimana pihak kementerian merancang untuk meningkatkan tahap pencapaian pelajar dari sudut literasi dan numerasi.

Mengulas lanjut, Kah Woh memaklumkan, selaras dengan usaha Reformasi Pendidikan, Pasukan Petugas Khas Intervensi Kurikulum bertanggungjawab melaksanakan inisiatif menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan murid.

Antara inisiatif yang dilaksanakan dalam Intervensi Kurikulum ialah Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi murid Tahun 1.

“Pengesanan ini dilaksanakan seawal tiga bulan pertama persekolahan Tahun 1 yang bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira,” tambahnya.

Pengesanan ini juga akan dapat mengenal pasti murid yang belum menguasai literasi dan numerasi supaya intervensi awal yang sesuai dapat dilaksanakan.

“Pelaksanaannya akan dapat mengurangkan bilangan murid sekolah rendah yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) seterusnya membina keyakinan diri untuk belajar dan berkomunikasi dengan berkesan pada tahap persekolahan yang lebih tinggi,” ujarnya.

Selain itu, Kurikulum Persekolahan 2027 juga meletakkan penguasaan literasi dan numerasi sebagai fokus utama kurikulum Tahap I peringkat sekolah rendah.

Fokus itu bertujuan memastikan murid menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira sebelum mengikuti persekolahan Tahap 2.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini