comscore
Tumpuan :
Nasional

Penguat kuasa kastam ditembak penyeludup

Sungai Golok antara tempat penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand dekat Kelantan.- Foto fail NSTP

TUMPAT: Penyeludup melepaskan tembakan ke arah penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika operasi di Sungai Golok dekat Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor, di sini, kira-kira 9 pagi kelmarin.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata penguat kuasa melihat bot berenjin galah sedang memunggah tong yang dipercayai membabitkan petrol dan diesel.

“Pasukan operasi merapati sebuah bot berenjin galah yang sarat dengan muatan tong di tebing sungai dan seorang pegawai kami melompat masuk ke dalam bot terbabit.

“Dalam masa yang sama, penyeludup cuba melarikan diri dengan melompat ke dalam bot rakannya yang datang untuk membantu dan mengacukan pistol ke arah pasukan kami sambil menuju ke tengah sungai, arah Thailand.

“Penyeludup melepaskan dua das tembakan ke udara dan ke arah pasukan penguat kuasa sebaik berada di tengah sungai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Jamal berkata, penguat kuasa menghadang bot JKDM untuk melindungi tiga pegawai dari terkena tembakan semasa menarik bot dengan barang kes tetapi penyeludup sekali lagi melepaskan satu das tembakan ke arah pasukan operasi.

Beliau berkata, pengendali melajukan bot menyebabkan bot kes yang sarat dengan petrol tenggelam.

Katanya, pasukan operasi terpaksa memotong tali bot enjin galah penyeludup dan terus memecut meninggalkan lokasi bagi memastikan keselamatan mereka.

“Cabaran dan halangan semasa menjalankan penguatkuasaan rutin yang perlu JKDM tempuhi, demi mengawal ketirisan hasil negara.

“Ancaman seperti ini sedikitpun tidak pernah melunturkan semangat warga kerja JKDM dan kami akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Loading...
Terkini