Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pengukuhan ringgit pada ketika ini membuktikan Kerajaan Madani berupaya mengubah persepsi dunia terhadap asas ekonomi negara dalam tempoh yang singkat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, paras ringgit yang mencapai RM4.19 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi tadi telah melepasi jangkaan RM4.50 hujung tahun ini.
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani dalam tempoh yang singkat telah berupaya mengubah persepsi dunia terhadap asas ekonomi kita setelah kita meluncurkan kerangka Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Dalam tempoh yang singkat kita telah menyaksikan satu perubahan yang cukup mendadak bukan hanya ringgit mengukuh jauh lebih awal..Alhamdulillah jangkaan RM4.50 pada hujung tahun, (tapi) hari ini belum selesai September, kita dah mencecah paras itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, pencapaian lain termasuk nilai perdagangan dan pelaburan turut meningkat.
Dunia turut memberi fokus kepada sektor semikonduktor yang mana Malaysia akan menjadi antara pusat terpenting di rantau ini untuk menghasilkan semikonduktor dan mengeksport ke seluruh dunia.
Jelasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Julai lalu mengumumkan jumlah hutang baharu telah berkurangan setelah Kerajaan Madani mengambil alih.
Selain itu, Fahmi berkata defisit menguncup, inflasi kekal dua peratus, jumlah pekerjaan yang meningkat dan pengangguran kekal rendah membuktikan Malaysia berada di landasan yang betul.
“Tapi kita tidak boleh ‘rest on our laurels’ (berpuas hati), cabarannya banyak. Kita tahu di Timur Tengah ada satu keadaan yang membimbangkan, apa yang berlaku di Lubnan dan Palestin yang masih belum mencapai gencatan senjata dan keamanan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.