comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengumuman penting rangkaian 5G akhir bulan ini

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beberapa pengumuman penting mengenai rangkaian 5G dijangka diumum hujung bulan ini atau awal Mei.

Beliau dijadualkan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok antaranya untuk membincangkan perkara yang perlu dilaksana bagi memastikan kadar penggunaan rangkaian itu terus mencapai tahap yang suai manfaat atau sesuai dengan perkhidmatan disediakan.

Beliau berkata, pertemuan turut membabitkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul  Abdul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

“Insya-Allah dalam masa terdekat, harapan saya menjelang hujung bulan ini atau awal bulan depan, kita akan ada beberapa pengumuman penting dan besar mengenai rangkaian 5G.

“Saya harap dengan adanya perkhidmatan 5G ini, rakyat akan mendapat manfaatnya,” katanya ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembah Pantai 2024 di IWK Eco Park@Lembah Pantai, malam ini.

Ketika ditemui pemberita, Fahmi menjelaskan, isu mengenai pemilikan akaun media sosial ketika ini adalah pihak media sosial menyerahkan sepenuhnya pendaftaran pembukaan akaun kepada pengguna tanpa kaedah pembuktian untuk memastikan usia mereka melebihi syarat dibenarkan.

Susulan itu, pihaknya mengadakan siri pertemuan dengan pihak berkaitan seperti Meta yang menguruskan aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp serta pihak Telegram untuk mengemukakan perancangan mereka bagi menangani isu pemilikan akaun media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah usia 13 tahun.

“Kita lihat ada beberapa perkara daripada pihak media sosial yang perlu dimaklumkan kepada kita dahulu. Harapan saya menjelang awal Mei ini, akan ada pengumuman mengenai perbincangan dengan semua platform media sosial khususnya berhubung keselamatan dalam talian berkait kanak kanak,” katanya.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berharap orang ramai mengambil peluang mengukuhkan silaturahim, persahabatan serta perpaduan antara satu sama lain.

“Kita sebagai negara Malaysia memiliki kekuatan berdasarkan kemajmukan, kepelbagaian dan perpaduan malah tiada negara lain seperti Malaysia yang mempunyai komposisi kaum dan latar belakang seperti negara kita,” katanya.- BERNAMA-

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini