comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengundi awal Padang Serai, Tioman celup jari kelingking kiri

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pengundi awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Kedah dan Bahagian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang akan ditandakan dakwat pilihan raya pada jari kelingking tangan kiri.

Pada masa sama, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak menyarankan pengundi yang positif COVID-19 untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal.

“Sejumlah 76 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi awal untuk Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai bertempat di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, mulai jam 8 pagi hingga 2 petang.

“Manakala, bagi Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman pula seramai 243 orang polis akan mengundi awal di Bilik Rehat IPD Rompin (8 pagi hingga 5 petang) dan di Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman (8 pagi hingga 12 tengah hari),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penandaan dakwat pilihan raya pada jari kelingking berbeza dengan kebiasaan tatacara proses mengundi yang lazimnya mencelup jari telunjuk di dalam bekas dakwat biru itu.

Langkah berkenaan mungkin bagi mengelak kekeliruan petugas pilihan raya berikutan sisa kesan dakwat tersebut pada jari telunjuk ketika mengundi pada PRU-15, 19 November lalu.

Mengulas lanjut, Datuk Ikmalrudin menasihatkan pengundi awal untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Menurutnya, proses pengundian awal turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding, selain disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook SPR di beberapa pusat mengundi awal yang terpilih.

“Kertas-kertas undi awal tidak akan dibuat pengiraan pada hari mengundi awal dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat. Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dibuat pengiraan pada 7 Disember ini bermula jam 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.

SPR sebelum ini menetapkan esok sebagai hari mengundi awal dan Rabu depan (7 Disember) adalah hari mengundi bagi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman.

PRU-15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M. Karupaiya pada 16 November lalu manakala pengundian DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli pada 3.30 pagi hari pengundian (19 November) yang dipercayai akibat serangan jantung.

Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak; Datuk Azman Nasrudin (PN); Datuk C. Sivaraj (Barisan Nasional – BN); Hamzah Abd Rahman (Parti Pejuang Tanah Air – PEJUANG); Sreanandha Rao (Bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan – WARISAN).

WARISAN kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo Warisan masih tersenarai dalam kertas undi kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.

DUN Tioman pula melibatkan saingan lima penjuru antara calon PN, Nor Idayu Hashim; Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN); Osman A Bakar (PEJUANG); Sulaiman Bakar (Bebas) dan calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang mengumumkan untuk menarik diri namun logo PH masih tersenarai dalam kertas undi.

Loading...
Terkini