comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengundi positif COVID-19 diasingkan, dipercepat proses mengundi

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pengundi positif COVID-19 akan diasingkan daripada pengundi lain dan dipercepatkan proses mengundi bagi mengelak penularan jangkitan di pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom berkata, individu terbabit perlu mengisytiharkan kondisi kesihatan mereka sewaktu pendaftaran terlebih dahulu.

“Selepas itu, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengasingkan pengundi yang positif COVID-19 dan mereka akan mengundi dengan segera. Kita (SPR) cuba untuk memisahkan mereka dengan pengundi lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di Presint 7 hari ini.

Seramai 746 anggota polis dan polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan melaksanakan tanggungjawab membuang undi di sini.

Selain itu, Dr. Azmi berkata, pengundi positif COVID-19 juga akan melalui ‘laluan khas’ daripada bersentuhan atau bergaul dengan pengundi lain.

Mengulas mengenai tinjauan perjalanan proses pengundian awal, beliau berkata, ia berjalan dengan lancar.

“Ini menunjukkan petanda yang baik kerana ramai pengundi keluar pengundi. Pusat mengundi akan dibuka sehingga jam 5 petang. Kita berharap semua akan okay dan tidak ada masalah setakat ini,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, semua individu positif COVID-19 wajib memakai pelitup muka ketika membuang undi, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

Pengundi positif COVID-19 juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing, singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, selain perlu pulang segera selepas selesai mengundi.

Loading...
Terkini