comscore
Tumpuan :
Nasional

Insentif e-dompet RM20 untuk pengunjung Bazar Ramadan Rahmah

Fuziah (tengah) melawat gerai jualan pasar tani sempena Program Bubur Lambuk Ambang Ramadan, di Pasar Tani UTC Kuantan. – FOTO: NSTP

KUANTAN:  Insentif e-dompet RM20 akan diberikan kepada 6,000 pengunjung Bazar Ramadan Rahmah di setiap negeri melibatkan peruntukan RM2.3 juta.
​​​​​​​
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), setiap pengunjung Bazar Ramadan Rahmah bakal menerima e-dompet itu melalui operator atau penyedia platform e-dompet yang bekerjasama dengan kementeriannya.

Ujar beliau, pengunjung boleh mendapatkannya di kaunter yang ditempatkan di bazar berkenaan.

Setakat ini KPDN mempunyai 29 Bazar Ramadan Rahmah yang berdaftar, namun selepas ini lebih banyak lagi akan mendaftar dengan sasaran 50 bazar seluruh negara yang akan ditempatkan di kawasan B40 tetapi lokasi sedang dikenal pasti.

“Insentif ini akan diberi kepada 1,000 pengunjung terawal di bazar terpilih melalui operator atau penyedia platform e-dompet yang bekerjasama dengan KPDN.

“Setiap negeri kita laksanakan sebanyak enam kali, ini bermakna 6,000 pengunjung akan menerima manfaat daripada inisiatif itu di setiap negeri dengan pengguna hanya dapat sekali saja insentif berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Program Bubur Lambuk Sempena Ambang Ramadan di tapak Pasar Tani UTC, di sini, hari ini.

Menurut Fuziah, selain membantu rakyat, inisiatif itu juga bagi menggalakkan pengguna dan peniaga ke arah digital dan transaksi tanpa tunai.

“Setakat ini kita sudah menjalinkan kerjasama dengan dua operator e-dompet, namun masih membuka peluang kepada lebih banyak operator untuk menjadi rakan strategik kita.

“Selain itu, Bazar Ramadan Rahmah juga berbeza dengan bazar Ramadan biasa kerana kita menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus peniaga menyediakan Menu Rahmah,” katanya.

Fuziah turut mengingatkan peniaga bazar Ramadan supaya sentiasa mematuhi peraturan dengan mempamerkan tanda harga dan menawarkan harga berpatutan, manakala pengguna juga diingatkan menjadi pengguna bijak.

Peniaga yang ingkar mempamer tanda harga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Loading...
Terkini