KUALA LUMPUR: Pengunjung pusat beli-belah terkenal di ibu negara, KLCC digemparkan dengan bunyi siren dan kepulan asap akibat kebakaran di tingkat tiga bangunan berkenaan, malam ini.
Difahamkan, kejadian dilapor Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) terus kepada Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 8.12 malam.
Komander Operasi, Mohd Azimin Mohd Zaidi berkata, tiga jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, Hang Tuah dan Titiwangsa membabitkan kekuatan 22 pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba, pasukan mendapati asap tebal di tingkat tiga dan anggota bertindak mencari punca api.
“Kebakaran dikesan berlaku di bahagian tangga laluan kecemasan membabitkan longgokan kotak yang terbakar di dalam tong sampah.
“Anggota menggunakan satu aliran hos untuk pemadaman dan membuat kerja pengudaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya pada 8.45 malam.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa