Tumpuan :
Nasional

Pengurus gudang kedai serbaneka ditahan SPRM terima rasuah RM8,000 

Foto: NSTP

PETALING JAYA: Seorang pengurus gudang sebuah syarikat rangkaian kedai serbaneka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM8,000.

Sumber memaklumkan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, pada 3.30 petang tadi.

“Berdasarkan siasatan, suspek diayaki meminta dan menerima rasuah RM8,000 daripada pengurus syarikat pemasaran dan jualan.”Ia sebagai dorongan untuk mendapatkan tambahan kerja penghantaran barang,” katanya.

Sumber berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan terbabit di daerah Subang Jaya pada Oktober 2022.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Loading...
Terkini