comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengurus maut motosikal rempuh SUV berhenti di lorong kecemasan

Mangsa maut selepas motosikal ditunggangi merempuh belakang SUV yang mengalami masalah tayar pecah.- Foto ihsan PDRM.

MUAR: Perjalanan pulang pengurus sebuah syarikat keselamatan di Singapura berakhir tragedi apabila selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya merempuh kenderaan pelbagai guna (SUV) yang berhenti di lorong kecemasan.

Mangsa, 42, yang mengalami kecederaan parah di kepala, maut di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku jam 12.25 tengah hari di Kilometer 138.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara dekat Pagoh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari Singapura ke rumahnya di Jasin, Melaka.

Katanya, pemandu SUV itu berhenti di lorong kecemasan selepas tayar belakang di sebelah kiri kenderaan itu tiba-tiba pecah.

Ketika kejadian, pemandu SUV, 59, yang juga kontraktor dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Nilai, Negeri Sembilan.

Keadaan motosikal dan SUV susulan kemalangan di Kilometer 138.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara dekat Pagoh. Foto ihsan PDRM.

“Ketika keluar dari kenderaan, pemandunya membuka but belakang untuk meletakkan tanda kecemasan bagi menukar tayar kenderaannya.”

“Secara tiba-tiba, mangsa datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh SUV terbabit.”

Katanya, akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting beberapa meter sebelum terbaring di tengah lebuh raya terbabit.

Menurut Raiz Mukhliz lagi, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

“Kemalangan itu menyebabkan tayar hadapan motosikal ditunggang mangsa tercabut manakala SUV mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang.”

Katanya, pemandu SUV tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Polis ketika ini sudah merakam percakapan orang awam selain meminta bantuan mana-mana pihak mempunyai kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini